Model Standard Guru Malaysia
Guru (digambarkan oleh huruf G) yang dihasratkan oleh Malaysia mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan (Standard 1), pengetahuan dan kefahaman (Standard 2) serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran (Standard 3). Ketiga-tiga standard tersebut digambarkan oleh tiga lingkaran kecil yang bertindan; membawa maksud ketiga-tiga aspek kompetensi yang dikuasai oleh guru adalah saling berkait dan bersepadu.
Lingkaran besar putih yang melingkari Standard menggambarkan Keperluan utama yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menyokong dan membantu guru mencapai Standard. Keperluan yang dimaksudkan ialah kelayakan masuk dan prosedur pengambilan calon program latihan perguruan (Keperluan 1), latihan, pentaksiran dan penilaian program perguruan (Keperluan 2), kolaborasi (Keperluan 3), infrastruktur dan infostruktur (Keperluan 4), dan jaminan kualiti (Keperluan 5).
Lingkaran besar yang memagari Keperluan menggambarkan asas penentuan Standard dan Keperluan iaitu Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan, dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia,
Glob di tengah-tengah lingkaran Standard merujuk kepada kualiti guru bertaraf dunia yang dipertanggungjawab membangunkan modal insan berminda kelas pertama, iaitu menguasai ilmu dan kemahiran tinggi, menjunjung nilai budaya bangsa, memiliki semangat patriotisme yang utuh, mempunyai daya saing yang tinggi dan berwibawa.
Standard 1:Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM, dan Tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu:
S1.1 Domain Diri
Domain ini merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara.
Nilai-nilai yang difokuskan dalam domain ini ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing dan, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela, dan efisien.
S1.2 Domain Profesion
Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai yang ditekankan dalam domain ini adalah kecintaan terhadap profesion, berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.
S1.3 Domain Sosial
Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai-nilai utama yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Standard 2:Pengetahuan dan Kefahaman
Guru yang memiliki dan menguasai ilmu yang mantap dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Bidang pengetahuan yang patut dikuasai oleh guru adalah seperti yang berikut:
S2.1 Falsafah, matlamat, dan objektif pendidikan yang menjadi teras dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.
S2.2 Falsafah, matlamat, objektif kurikulum dan kokurikulum, hasil pembelajaran, dan keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajarkan.
S2.3 Kandungan mata pelajaran yang diajarkan.
S2.4 Kandungan Ilmu Pendidikan
S2.5 Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum.
S2.6 Strategi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
S2.7 Kaedah pentaksiran dan penilaian, dan penyelidikan tindakan untuk menambahbaik amalan pengajaran dan pembelajaran.
S2.8 Potensi murid dan cara mengembangkannya secara menyeluruh dan bersepadu.
Standard 3:Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran
Standard ini memfokuskan kebolehan guru untuk membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum.
Kemahiran yang patut ada pada semua guru adalah seperti yang berikut:
S3.1 Kemahiran menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran dan takwim dengan mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada, serta jangkaan pencapaian murid.
S3.2 Kemahiran melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik serta mengintegrasikan kemahiran berfikir, kemahiran belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran pemudah cara dan kemahiran mentaksir dan menilai.
S3.3 Kemahiran memantau, mentaksir dan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bertujuan memperbaik pengajaran guru dan meningkatkan pencapaian murid.
S3.4 Kemahiran mengurus bilik darjah; melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan.
PERINCIAN KEPERLUAN
Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan latihan dengan mengambil kira dasar kerajaan, peruntukan kewangan, pekeliling am dan arahan pentadbiran, tuntutan serta perkembangan semasa. Lima keperluan penting latihan perguruan telah dikenalpasti bagi memastikan guru mencapai tahap kompetensi yang diharapkan iaitu:
Keperluan 1: Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program Latihan Perguruan
Untuk memastikan permohonan yang layak sahaja ditawarkan mengikuti program latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mematuhi syarat dan prosedur berikut:
K1.1 Mengiklankan permohonan
K1.2 Menapis semua permohonan dan memanggil calon yang layak untuk menduduki ujian kelayakan
K1.3 Memanggil calon guru yang melepasi ujian kelayakan pada tahap yang ditetapkan untuk menghadiri temu duga
K1.4 Melaksanakan sesi temu duga calon guru
K1.5 Membuat tawaran kepada calon guru yang berjaya
K1.6 Mendaftar calon guru berpandukan buku panduan pendaftaran
K1.7 Menandatangani perjanjian latihan perguruan
Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian
Bagi memenuhi keperluan latihan, pentaksiran dan penilaian latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan perkara berikut:
K2.1 Kurikulum latihan
K2.2 Sumber manusia yang berkelayakan, kompeten, dan mencukupi
K2.3 Program terancang bagi guru pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman di sekolah
K2.4 Sumber pengajaran dan pembelajaran
K2.5 Pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang sedang berkuatkuasa
Keperluan 3: Kolaborasi
Bagi meningkatkan lagi kualiti latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mewujudkan permuafakatan dengan pelbagai pihak seperti yang berikut:
K3.1 Sekolah
K3.2 Institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara
K3.3 Badan bukan kerajaan seperti persatuan, unit beruniform, serta sukan dan permainan
Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostrktur
Bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan prasarana dan sumber yang lengkap dan terkini seperti yang berikut:
K4.1 Menyediakan kemudahan fizikal yang sesuai dan mencukupi bagi memenuhi keperluan kurikulum dan kokurikulum, pengurusan dan pentadbiran, serta kebajikan pelajar dan staf berdasarkan spesifikasi standard dan kos yang sedang berkuatkuasa.
K4.2 Menyediakan rangkaian infostruktur yang bersepadu untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran.
Keperluan 5: Jaminan Kualiti
Mekanisme jaminan kualiti merupakan aspek penting bagi memastikan latihan perguruan yang dilaksanakan kekal bermutu tinggi. Pemantauan, penilaian, dan pelaporan perlu dibuat terhadap perkara-perkara berikut bagi menjamin kualiti latihan perguruan:
K5.1 Pemastian jaminan kualiti terhadap Standard
K5.2 Pemastian jaminan kualiti terhadap Keperluan
K5.3 Penandaarasan latihan perguruan
K5.4 Pemastian Kod Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
PENUTUP
Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Buku Standard Guru Malaysia, bersama-sama dengan buku Panduan Standard Guru Malaysia dan Manual Instrumen Standard Guru Malaysia akan dapat memastikan guru yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Sambung bacaan:
KLIK SINI
88DB.com
No comments:
Post a Comment